Pages

CERPEN:Siti Sumaiyah


cerpen ini dikirimkan daripada sahabat saya dan saya catatkan di sini untuk kongsian kita bersama.moga kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran bahawa Iman dan Islam itu tidak dapat diwarisi sesiapa sekalipun kita miliki ibu bapa dan persekitaran yang islamic....

Senja menyerakkan warna di ufuk barat ketika aku keluar daripada
perkarangan penjara, meninggalkannya dengan pandangan sayu yang
penuh dengan luka tersayat. Air mataku telah kering untuk menangisi
episod hari ini lantaran tragedi semalam yang cukup
menyedihkan. "Sabarlah, Sumaiyah....," cuma pesanan itu yang
diingatkan oleh suamiku sebelum aku melangkah pergi sebentar tadi.
Ya, Siti Sumaiyah ini akan terus sabar kerana sabar itulah yang
paling baik. Kerana sabar itulah yang terindah. Biarlah aku menjadi
seperti Sumayyah, sahabat Rasullulah s.a.w. yang terus sabar dan
teguh disiksa bertubi-tubi. Namun demi dinullah, keimanan terus
dipertahankan.

Selepas solat Maghrib, doaku berentet panjang. Air mataku mengalir
tanpa henti. Aku sedih. Aku kecewa. Aku benar-benar terasa sedih di
bumi fana ini. Tiada lagi kegembiraan yang menguliti. Telah hilang
senda gurau Nur Amana, puteri tunggalku. Sudah lenyap bisikan sayang
suami tercinta. Semuanya telah tiada.

Sekelilingku pemuh tomahan yang menyakitkan. Disekitarkan saban hari
dihidangkan kisah-kisah melukakan.Suamiku pula kini dipenjara.
Lengkaplah penderitaan ini. Aku sendiri tanpa dorongan dan semangat
yang saban hari ditiupkan dalam rohku.

Tiba-tiba hati kecilku berbisik, bahawa Allah tidak pernah
meninggalkan hamba-Nya sendirian. Ingatanku melayang pada firman-Nya
dalam surah Ad-Dhuha.

"Allah bersumpah demi waktu dhuha dan demi malam apabila telah
sunyi, sesungguhnya Allah tidak pernah meninggalkan dan membenci
hamba-Nya.Kelak, Allah akan memberikan kurnia-Nya dan hatimu
pasti akan melindungimu?. Dulu kau dalam keadaan bingung lalu Allah
melindungimu?. Dulu kau dalam keadaan bingung lalu Allah memberi
petunjuk. Dan dia mendapatimu dalam serba kekurangan lalu Dia
mencukupkan".

Astagfirullah!. Aku beristigfar berkali-kali. Sesungguhnya aku tidak
sendiri. Allah bersamaku. Allah mendengar keluhanku. Allah tahu
resah dan gelodak yang melanda jiwaku. Allah tahu semua itu. Aku
sujud panjang, memohon istighfar. Air mataku mengalir. Aku terlena
di atas sejadah. Tubuhku benar-benar letih. Sudah hampir sebulan
aku berada dalam keadaan tidak menentu. Makan minumku sekadarnya.
Tidurku dihantui mimpi-mimpi ngeri. Hari-hariku penuh kesedihan dan
kekecewaan. Emosiku terganggu...

Hatiku berdebar-debar menunggu keputusan doktor. Wajah doktor wanita
yang bulat bersih itu kutatap sungguh-sungguh. "Emm... positif!
Memang Puan mengandung...," dia tersenyum memandangku. "Iyakah?,"
Aku seperti tidak percaya. Dia mengangguk. "Tahniah! Inai masih
merah lagi... memang mahu anak awal?", tanyanya. Aku angguk. "Tentu
husband Puan gembira, sampaikan ucapan tahniah saya padanya,"
katanya sebelum aku meninggalkannya.

Suamiku yang menunggu di luar tidak sabar menanti
jawapan. "Macammana?," Tanyanya. "Abang nak atau tidak?". "Mestilah
nak!". "Kalau Abang nak... adalah!".

Dia mengucup dahiku. Pelukannya erat. Aku gembira. Dia gembira.
Tuhan,syukurlah atas nikmat ini. Aku tahu dia amat sayang padaku.
Seperti sayangku padanya. Dan seperti kasih kami kepada janin dalam
rahimku. Dia menjagaku sebaiknya.

Makan minumku, sakit peningku. Dan segala-galanya. "Doalah, semoga
anak kita jadi anak yang baik,". Hari-hari itu yang diingatkan
padaku.

Aku teringat isteri Imran sewaktu mengandungkan Siti Maryam, wanita
suci, ibu Nabi Isa a.s. yang diberi kelebihan melahirkan anak tanpa
bapa. Isteri Imran menazarkan anak dalam kandungannya menjadi hamba
yang soleh dan berkhidmat di Baitul Maqdis. Setelah melahirkan
seorang puteri, dia berdoa lagi semoga anak-anaknya diberi
perlindungan daripada syaitan yang terkutuk.

Aku pun ingin memiliki anak yang soleh, yang luhur pekertinya dan
teguh memegang syariat Allah s.w.t pada akhir zaman. Lalu, hari-hari
kubisikkan kepadanya kata-kata yang baik. Biarpun dia masih di dalam
rahim. Aku pasti ada pertalian yang menghubungkan aku dengannya. Aku
nyatakan harapanku dan saban hari bibirku tidak kering melagukan
ayat suci Al-Quran. Surah Yasin, Al-Luqman, At-Taubah, Yusuf dan
Maryam telah sebati dalam pengalamanku. Sebelum melelapkan mata,
suamiku akan mengajarnya membaca Al-Fatihah. Dan alangkah gembiranya
hati bakal ibu apabila janinnya bergerak-gerak, memberi tindak balas
pada kalimahtayyibah yang diajarkan.

Akhirnya dia kulahirkan setelah melalui kesakitan antara hidup dan
mati.Terubat hatiku melihat senyumannya. Dia banyak menyalin rautku.
Berkulit cerah dan berwajah bujur sirih. Paling seronok melihat
lekuk di kedua belah pipinya bila dia tersenyum. Nur Amana, nama
pilihan suamiku. Menggabungkan maksud cahaya Ilahi yang menaungi
setiap sudut hidupnya. Penuh barakah dan rahmat. Biar dia menjadi
wanita terpuji. Memiliki iman setinggi iman Siti Fatimah az-Zahra,
puteri Rasullulah s.a.w. yang terunggul.

Dan membesarlah dia dalam limpahan kasih sayang aku dan suami.
Takdir Allah s.w.t. menyuratkan kami tidak memperoleh anak lagi
selepas kelahirannya. Pelbagai usaha kulakukan, namun barangkali
puteri seorang itu sajalah amanah yang perlu disempurnakan
sebaiknya. Aku akur. Suamiku tidak banyak bicara.Ketentuan Allah
adalah sesuatu yang mesti diterima dengan reda.

Nur Amana anak yang bijak. Tidak sekadar memiliki kecantikan
lahiriah, akhlaknya terpuji. Tutur katanya mendamaikan jiwa. Bila
dipandang menyejukkan hati. Tidak pernah sekalipun mengangkat suara
pada orang tua. Malah kata maaf sering diucapkan bila terasa lakunya
menyentuh hati orang lain. Bahagianya hati suamiku. Sejuk perutku
yang mengandungkan. Dan syukurku melimpah kerana ibarat
dianugerahkan puteri seorang bidadari dari syurga.

Saat paling menyedihkan bila sepucuk surat bersampul coklat tiba
pada suatu tengahari.

Detik perpisahan bertemu jua. Nur Amana yang cermelang dalam
pelajaran ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Pun,
demi masa depannya kami merelakannya. Seperti suamiku, aku yakin
dengan ilmu Islam yang diterapkan dalam jiwanya dia mampu menangkis
segala unsur jahat.

Aku pasti Nur Amana akan terus teguh. Menjadi ikan yang tetap tawar
biarpun hidup di lautan masin. Lalu hari-hariku diulit rindu yang
dalam. Terkenang telatah manjanya, senyumannya, rajuknya, dan bila
menjamah hidangan tengahari tersentuh hatiku, teringat dia yang jauh
dirantau orang.

Kerabu pucuk paku dan ikan bakar sering membuatkanku menitiskan air
mata. Lauk itulah kegemaran Nur Amana. Namun, rindu terubat juga
bila sekali sekala suratnya menitip berita, menyatakan rindu dan
kasih tidak terhingga.

Lima tahun di negeri orang, Nur Amana kembali dengan kejayaan
membanggakan. Air mataku menitis. Jauh di sudut hati, aku berbisik
semoga anak inilah yang mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya bila
hayat berakhir nanti. Dan di luar dugaanku, pulangnya Nur Amana
membawa satu perubahan yang ketara. Dia berjilbab kini. Seluruh
tubuh termasuk wajah ditutup dengan kerundung gelap. Pun aku
bersyukur kerana perubahan itu menjurus kepada kebaikan.

Seperti suamiku, aku tidak membantah. "Di sana terlalu banyak
fitnah, Ma...," beritahunya suatu hari bila kutanya apa yang
mendorongnya memakai purdah. Aku pun menyedari, kemungkaran yang
memenuhi negara kafir tempat Nur Amana menuntut ilmu itu.
Alhamdulillah, kerana Nur Amana mengambil langkah bijak. Cuma
saudara mara banyak membantah. Katanya, dengan keadaan yang seperti
itu, Nur Amana sukar mendapat pekerjaan nanti. Rugilah kelulusan
tinggi yang diperolehi. Tapi Nur Amana cuma tersenyum mendengar
pertentangan-pertentangan itu. "Jangan bimbang Ma, pasti ada
rezeki untuk hamba Allah yang memegang syariat-Nya," Nur Amana
memujukku. Dan hatiku berbunga lega. Benar seperti kata-katanya,
tidak sampai sebulan pulang dari Amerika, Nur Amana mendapat kerja
di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Aku tidak begitu tahu tentang
tugasnya, tapi menurut Nur Amana sebagai eksekutif. Dan kehidupan
kami berlangsung seperti biasa.

Hilang sudah rindu membaraku. Nur Amana berada di sisiku kini.Hari-
hari berada di depan mata. Cuma beberapa bulan kemudian, sikap Nur
Amana mula berubah. Dia menjadi pemurung, jarang bercakap dan sering
mengurung diri dalam kamarnya. Keluarnya bila ke tempat kerja atau
bila kuajak makan bersama. Itupun kadang-kadang dia menolak.
Beberapa kali aku cuba mencungkil isi hatinya. Kenapa tiba-tiba dia
berubah laku. Pun aku tidak berjaya. Nur Amana cukup bijak mengelak
dan menyembunyikan.

Sehinggalah suatu hari aku dihubungi oleh seseorang, katanya Nur
Amana telah menghantar permohonan ke mahkamah untuk menukar agama
kepada Kristian. Bergegar jantungku. Suamiku terdiam lama. Ketika
itu Nur Amana tiada di rumah. Katanya out-station di Singapura
selama seminggu. Aku dan suami mengambil langkah berdiam diri
dahulu. Cerita sebenar perlu diperolehi oleh Nur Amana sendiri.
Bagaimana mungkin orang itu boleh membawa khabar itu, kalau tidak
ada apa-apa?. Apa sebenarnya yang dilakukan oleh Nur Amana
sehingga timbul fitnah yang sebegitu besar?. Persoalan demi
persoalan menujam diri menjadikan aku gelisah menanti kepulangannya.
Kepulangan Nur Amana kusambut dengan air mata yang entah untuk
apa. Yang pasti hatiku cukup bimbang. Cenderamata dari Singapura
dihadiahkan. Sehelai kain sutera berwarna ungu yang cantik. Pun
bagiku ia tidak bernilai apa-apa. Suamiku menggesanya cepat
membersihkan diri supaya dapat solat Maghrib berjemaah bersama.
Tapi, Nur Amana, memberi alasan letih dan meminta aku dan suami
solat dahulu. Bila azan Isyak berkumandang, sekali lagi suamiku
mengetuk pintu kamarnya mengajak Nur Amana solat bersama. Dan sekali
lagi juga Nur Amana menolak dengan alasan dia sedang menyiapkan
kertas kerja penting. Satu alasan yang tidak pernah dilakukan
olehnya. Nur Amana yang kudidik tidak pernah melengahkan waktu
solat. Tidak pernah mengutamakan kerja lain dari solat. Tapi,
mengapa hari ini begitu? Mataku dan suami bertentangan. Pun kami
cuma membisu. Bersabar dan menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.

Selepas solat kulihat Nur Amana ke dapur, mengisi perut yang
berkeroncong. Tadi, kupanggil dia makan bersama tapi beralasan
letih. Kecewanya hatiku dan suami. Selepas makan, Nur Amana
menolak pintu bilik lagi, tapi cepat suamiku memanggil. Nur Amana
duduk dihadapanku. Dia kelihatan bersahaja. Gadis yang baru mencecah
24 tahun itu kulihat semakin manis. Wajahnya lembut. Matanya redup.
Bibir merah jambunya yang cantik sering mengukir senyuman. Soalan
pertama diajukan oleh suamiku.

Nur Amana tersentak. Dia menafikan sekeras-kerasnya. Katanya itu
cuma fitnah orang yang benci melihat kejayaannya. Hatiku lega. Nur
Amana, anakku masih memelihara agamanya. Sebulan kemudian, aku
dihubungi lagi. Permohonan Nur Amana untuk menukar agama telah
diluluskan. Sekarang Nur Amana berada di Kota Kinabalu, menghadiri
persidangan penganut agama Kristian sedunia. Darahku berderau. Sikap
Nur Amana yang mencurigakan akhir-akhir ini turut menipiskan
kepercayaan aku dan suami padanya. Aku tidak mampu bertahan lagi.
Suamiku juga begitu. Ketiadaan Nur Amana (out-station ke Singapura
lagi) memberi peluang kepada kami untuk memecah biliknya. Kamar
sederhana besar itu tersusun kemas. Sekuntum mawar yang entah siapa
pemberinya telah kering di atas meja. Dari kad kecil yang terlekat
cuma tertulis tahniah dan tersusun buku-buku tebal di atas rak. Aku
menghampirinya.

Dan jantungku berdegup kencang bila hampir semua buku-buku tebal itu
adalah berkenaan agama Kristian, termasuklah sebuah Bible dan
terjemahannya. Aku menggeletar. Terasa lemah seluruh anggotaku.
Suamiku segera menghubungi mahkamah meminta kepastian. Dan jawapan
yang diberikan begitu menyakitkan. Air mataku turun tanpa henti. Apa
salah didikanku, lalu dia jadi begitu? Subhanallah!

Nur Amana pulang. Terkejut bukan main Nur Amana bila mendapati pintu
biliknya telah dipecahkan. Suamiku menghujaninya dengan pertanyaan
demi pertanyaan. Nur Amana membisu membiarkan kemelut terus
berpanjangan.Namun akhirnya, penjelasan dilafazkan jua. "Saya
mencintai Adam... pemuda Kristian, saya benar-benar cinta padanya
dan terperangkap dalam agama itu...," dan sepantas kilat sebuah
tamparan hinggap ke pipinya. Kemarahan suamiku sampai ke puncak.
Kesabaran terus terhapus. Nur Amana menangis. Aku terkaku.
Sesungguhnya hakikat ini terlalu pahit.

Paginya Nur Amana hilang dari rumah. Kamarnya kosong. Nur Amana
membawa bersama segala pakaian dan buku-buku. Nur Amana bagai
mengatakan bahawa "cuma setakat ini saja hubungan kita".
Nur Amana seolah-olah memutuskan bahawa aku bukan ibunya lagi,
suamiku bukan bapanya lagi. Air mataku mengalir dan terus mengalir.
Hiba hati seorang ibu.

Suamiku bertindak pantas melaporkan kepada polis. Nur Amana lari
dari rumah! Pun polis tidak menemuinya. Suamiku membuat permohonan
membantah pertukaran agama yang dibuat oleh Nur Amana. Tiada pilihan
lain, akhbar terpaksa digunakan meminta Nur Amana hadir ke mahkamah.
Lalu, cerita Nur Amana menjadi hangat. Saban hari kisahnya
terpampang di akhbar dan kaca televisyen. Latar belakangnya
dicungkil. Kemudian peribadi Nur Amana dikritik. Pendidikan ibu bapa
dan sekolah dijadikan alasan. Dan akhirnya, ramai yang menyimpulkan,
Nur Amana gadis terpuji tersungkur ke perangkap Kristian kerana
cinta! Alangkah dangkalnya iman Nur Amana. Alangkah!

Pada hari perbicaraan, Nur Amana hadir bersama seorang lelaki muda
berdarah India. Nur Amana tidak bertudung litup lagi. Rambutnya
dibiarkan mengurai ke bahu. Rambut yang sebelum ini tidak pernah
dilihat oleh mata lelaki ajnabi. Dan, terasa gugur jantungku bila
terlihat sebentuk salib dibuat dari emas tulin bercahaya ditimpa
cahaya lampu megah tersemat di dadanya. Nur Amana tunduk. Langsung
tidak memandang kepada sesiapa. Wajahnya tenang. Perbicaraan
dijalankan. Detik demi detik berlalu. Keputusan diumumkan. Suamiku
gagal!

Undang-undang negara memberi kebebasan beragama kepada rakyatnya.
Dan kami tidak berhak menghalang kerana Nur Amana telah berumur
lebih daripada 18 tahun. Lelaki muda di sebelah Nur Amana ku lihat
tersenyum lega.

Hatiku hancur. Di mataku terbayang hukum Allah. Orang murtad akan
dikenakan hudud! Dipancung setelah enggan setelah disuruh bertaubat.
Nur Amana bukan tidak tahu itu. Bukan Nur Amana tidak tahu. Tapi,
mengapa dia terus berdegil, tidak insaf dengan dosa itu?. Aku rebah
dalam pelukan suamiku. Tubuhku merasa tidak bermaya. Dia tunduk.
Wajahnya merah padam menahan kemarahan. Jemariku digenggam erat. Air
matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Menitis jatuh ke
pipiku. Itulah kali pertama kulihat air matanya gugur. Aku tahu
hatinya. Dan cuma aku yang tahu hatinya. "Demi Allah! Aku bersumpah
negara ini tidak akan aman kerana memegang undang-undang kafir!".
Tiba-tiba suaranya lantang menjerit, meggegarkan suasana mahkamah
yang telah sediakala hingar apabila mendengar keputusan mahkamah
tadi. Mahkamah sunyi seketika. Semua mata tertumpu padanya. Tiba-
tiba jeritan itu disambut dengan laungan "Allahu Akbar" dari orang
yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah. Aku cuba meredakan
kemarahannya. Namun air matanya semakin lebat. "Mahkamah ini tidak
adil! Sekular! Undang-undang penjajah!'.

Keadaan semakin gawat apabila polis menangkap suamiku. Suamiku
meronta-ronta, tapi pegangan kejap beberapa orang anggota polis
melemahkan kudratnya. Dan akhirnya dia mengalah, membiarkan
tangannya digari. Ketika melintasi Nur Amana yang terus tenang
berdiri di sebelah lelaki muda yang tidak kukenali itu, suamiku
menoleh. "Kalau jalan ini yang kau pilih, teruskanlah... tapi ingat,
kehidupanmu pasti tidak akan selamat!," Nur Amana tidak menjawab.
Tunduk. Kaku bagai patung. Pun kulihat sekilas senyuman di bibir
lelaki muda di sebelahnya. Hatiku tercalar. Keranamu Nur Amana,
seorang ayah akan hilang seluruh kebahagiaan hidupnya.

Dan hari ini, suamiku merengkuk dalam penjara. Dituduh menderhaka
kepada mahkamah! Dan ditakuti akan mencetuskan huru-hara kerana
menerbitkan sentimen perkauman juga keagamaan.

Aku terjaga ketika jam dinding di ruang tamu berdenting tiga kali.
Aku belum solat Isyak. Astagfirullah. Dari tadi aku tertidur dan
menyambung mimpi ngeri semalam. Aku segera membaharui wuduk. Solat
Isyak kudirikan. Kemudian kususuli dengan solat Taubat dan Hajat.
Air mataku gugur lagi pada dinihari yang sepi. Doaku tidak putus.
Hatiku retak. Namun jauh di sudut hati. Aku terus berharap...
pulanglah anakku, Nur Amana!.



Aduhai, kisah natrah berulang kembali...agama dipermainkan oleh
undang-undang sekular. Lihatlah betapa rapuhnya undang-undang
sehingga tidak dapat mempertahankan agama ISLAM yang dikatakan
agama RASMI. Sampai bila perkara ini akan berakhir.....betapa
hibanya hati seorang ibu bila anaknya murtad dan kita tahu hukumnya
dan kita tahu masih banyak lagi kes yang sama seperti nur amana.
apakah tindakan kita yang mengaku dirinya ISLAM, apakah tidak
tercabar oleh permainan pihak kuffar ini???? permainan ini semakin
bermaharajalela di tanah air kita....sedarlah.....

Kita akan tertindas selagi HUKUM ALLAH TIDAK DITEGAKKAN DI
BUMI.......MALAYSIA khasnya....



Uhibbukum fillah,
Nurul Sharina Salim
Reformist'98... Bebaskan Anwar dr kezaliman dan ketidakadilan!!
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "CERPEN:Siti Sumaiyah"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Followers